NASIONAL

D7 serbu premis judi, tahan 151 individu

SHAH ALAM, 22 JULAI: Seramai 109 pemain mesin judi dalam talian dan 42 penjaga premis ditahan dalam serbuan ke atas 15 premis di sekitar Serdang, malam tadi.

Memetik Astro Awani, serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi, Kongsi Gelap, D7 Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor dan Polis Daerah Serdang.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dan pemantauan berdasarkan maklumat orang awam sejak seminggu lalu.

Hasil siasatan awal mendapati sebahagian premis yang diserbu tidak memiliki lesen.

Mereka juga beroperasi secara haram, manakala sebahagian lagi berselindung di sebalik lesen pusat hiburan keluarga yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Turut dirampas dalam operasi sama ialah 276 komputer riba yang diaktifkan bagi tujuan judi dalam talian serta 36 mesin simulator.

Selain itu, pihak polis turut merampas wang tunai sebanyak RM12,936.


Pengarang :