BERITA UTAMASELANGOR

Delegasi DNJ kunjungi DNS

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 JUL: Dewan Negeri Selangor (DNS) bersedia berkongsi pengalaman dengan Dewan Negeri Johor (DNJ) dan dewan negeri-negeri lain bagi meningkatkan lagi demokrasi di negara ini.

Speaker DNS, Ng Sue Lim berkata, DNS amat berbesar hati menerima kunjungan hormat delegasi DNJ yang diketuai Speakernya, Suhaizan Kayat.

“DNS menerima kunjungan hormat delegasi Speaker DNJ pertama bagi Penggal ke-14 ini yang diketuai Suhaizan Kayat bersama Timbalannya Gan Peck Cheng dan juga juru tulis Subanah.

“Terima kasih atas kunjungan ini dan memilih DNS sebagai dewan yang pertama untuk dikunjungi, ia sangat bermakna kerana DNS terkenal dengan komitmen serta usaha reform dan pembaharuan dewan berbanding semua dewan-dewan negeri lain hatta di peringkat Parlimen sekalipun,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Sue Lim berkata, antara pembaharuan DNS yang menarik perhatian delegasi terbabit seperti masa dan ruang perbahasan terbuka luas untuk penyokong kerajaan dan pembangkang.

Katanya, DNS juga mewujudkan jawatankuasa pilihan khas yang baru dan juga jawatankuasa kebertanggungjawaban dan keteleusan (SELCAT).

Katanya, kemampuan DNS memastikan doktrin pengasingan kuasa antara eksekutif, legaslatif dan perundangan berjalan lancar turut menarika perhatian banyak pihak.

Sementara itu, Timbalan Speaker DNS, Mohd Khairuddin Othman berkata, pada pertemuan itu kedua-dua pihak turut bertukar-tukar pandangan dalam pelbagai pandangan dan pendekatan perjalanan dewan masing-masing.

“DNS telah meletakan penanda aras yang tinggi dalam pengendalian perjalanan institusi legislatif di negeri.

“DNJ dan DNS akan terus bertukar idea dan pandangan pada masa hadapan,” katanya.


Pengarang :