SELANGOR

Dokumen PRU14 Parlimen Kota Raja dilupus

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 17 JUL : Dokumen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi Parlimen Kota Raja (P11) kini dilupuskan selepas tiada sebarang petisyen bantahan dibuat oleh parti politik bertanding.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya kawasan itu, Shukri Mohamad Hamin berkata, pihaknya sudah mendapat kebenaran daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis lalu untuk melupuskan dokumen yang diguna pada PRU14 seperti kertas undi.

“Kebenaran melupus diberikan SPR selepas tiada petisyen bantahan dikemukakan oleh calon dan parti politik bertanding selepas 21 hari keputusan pilihan raya bagi kawasan ini diwartakan pada 29 Mei lepas,” katanya laporan Bernama.

Kertas undi dan pelbagai dokumen bagi kawasan Parlimen Kota Raja dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Kota Kemuning dan Sentosa dilupuskan pada hari ini di Dewan MBSA Kemuning Utama, Seksyen 32 dengan cara dibakar sebelum ditanam.

Turut hadir Timbalan Pengarah SPR Selangor, Kamarul Azman Ahmad Sabri dan tujuh wakil calon yang bertanding pada pilihan raya berkenaan.


Pengarang :