Ruam merah pada tapak kaki dan tangan antara tanda-tanda jangkitan tangan, kaki dan mulut (HFMD) pada kanak-kanak. Foto ARKIB SELANGORKINI
NASIONAL

Dua lagi sekolah ditutup di Pulau Pinang kerana HFMD

GEORGE TOWN 12 JUL: Dua lagi sekolah termasuk sebuah sekolah yang sebelum ini hanya membabitkan kelas Tahun Satu hingga Tahun Tiga yang ditutup telah diarahkan tutup sepenuhnya berikutan penularan wabak penyakit, tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohd. Jamil Mohamed berkata, dua sekolah itu ditutup selama 10 hari selaras dengan arahan Jabatan Kesihatan Negeri yang mahu pembersihan di sekolah yang mempunyai kes HFMD dijalankan bagi mengelak penularan penyakit berkenaan di kalangan murid di situ.

“Menurut laporan yang saya terima Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sam Sun ditutup sepenuhnya apabila tiga pelajar dikesan menghidap penyakit berkenaan manakala SJKC Phor Tay yang sebelum ini enam buah kelas membabitkan Tahun Satu hingga Tahun Tiga yang ditutup sejak 7 Julai lepas turut ditutup sepenuhnya bermula semalam.

“Langkah berkenaan diambil berikutan jumlah kes yang dicatatkan mencecah 11 kes di SJKC Phor Tay, dua buah sekolah telah ditutup sejak Selasa iaitu SJKC Shih Chung (Cawangan) (enam kes HFMD) dan Sekolah Antarabangsa Tenby.

“Semua sekolah terlibat terletak di daerah Timur Laut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya, sembilan buah kelas di SJKC Chong Cheng di Sungai Ara turut ditutup selepas lapan murid di situ dijangkiti HFMD dan Jabatan Kesihatan Negeri sedang membuat pemantauan serta pemeriksaan di sekolah berkenaan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :