BERITA UTAMASELANGOR

Dunia perhatikan Malaysia – MB

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUNGAI BULOH, 8 JUL: Perkembangan politik di Malaysia menjadi tumpuan dunia berikutan kelancaran peralihan kuasa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ini kerana berbeza dengan kebanyakan negara yang mengalami kekacauan ketika kali pertama melalui peralihan kuasa.

“Peralihan kuasa kita berjalan lancar tanpa sebarang kekacauan, jika dilihat tiada sebiji tayar pun dibakar semasa peralihan kuasa pada PRU14 lalu, ini menunjukkan betapa peralihan kuasa ini dilalui dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R. Sivarasa dan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat Paya Jaras di sini, semalam.

Ketika menyentuh kejayaan cemerlang Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor pada PRU14 lalu, Amirudin melahirkan keyakinan mampu menawan beberapa kerusi Parlimen di negeri itu pada PRU 15 akan datang.

Pada PRU14 yang lalu, buat pertama kali Barisan Nasional (BN) berjaya ditumbangkan selepas lebih 60 tahun berkuasa.

 


Pengarang :