SELANGOR

DYMM Tengku Permaisuri meriahkan Sambutan Jubli Emas SSP

OLEH NORHAYATI UMOR

CYBERJAYA, 16 JUL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Jubli Emas Sekolah Seri Puteri (SSP) ke 50, di sini, semalam.

Keberangkatan baginda di sambut Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Selain acara Santapan Diraja dan Jamuan Jubli Emas, baginda berkenan menyaksikan persembahan choral speaking, tarian dan pancaragam dari pelajar sekolah bestari itu.

Baginda turut berkenan melawat ke Galeri Warisan sekolah berkenaan.

Sekolah Seri Puteri yang ditubuhkan pada 6 Mei 1968 pada mulanya dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Jalan Kolam Air, Kuala Lumpur.

Pada 2003, sekolah itu dipindahkan ke premis baharu di Persiaran Tasik Cyberjaya, manakala premis lama dijadikan Sekolah Sains Seri Puteri (Seseri).

Sementara itu, Maszlee berkata, sekolah berasrama penuh perlu memupuk daya kreativiti pelajar dan memerlukan anjakan paradigma dalam proses pembelajaran serta pengajaran.

“Pendidik perlu berganjak dari cara pembelajaran dalam hafalan dan di luar cara konvensional.

“Jangan melihat pembelajaran secara tradisional sebaliknya menerokai ruang pembelajaran terbuka agar boleh berfikir secara kreatif,” katanya.


Pengarang :