SELANGOR

EKVE: Patuhi peraturan, elak hakisan

OLEH SHEEDA FATHIL

AMPANG, 24 JULAI: Pihak terbabit dalam pembinaan Lebuhraya Lingkaran Luar–Hubungan Timur (EKVE) diharap melaksanakan kerja mematuhi peraturan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, ia bagi memastikan insiden hakisan tidak berlaku sepanjang proses pembinaan.

Katanya, permasalahan itu amat dititikberatkan dan berharap pihak terbabit memandang serius isu berkenaan.

“Saya mengambil serius perkara ini kerana perlunya langkah proaktif supaya kita dapat meminimumkan atau mengelakkan hakisan daripada terus berlaku, terutama pada musim hujan.

“Memang insiden hakisan agak sukar untuk dielakkan, namun sekurang-kurangnya kita dapat meminimumkan ia daripada terus berlaku,” katanya.

Pada masa sama, beliau komited akan bekerjasama dengan Lembaga Urus Air Selangor dan Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor bagi memantau semua projek berkaitan, di negeri itu.

Terdahulu, Ir Izham membuat lawatan ke tapak projek EKVE yang mula dibina, pada 2015 dan dijangka siap sepenuhnya, pada September 2019.

Projek yang menelan belanja RM1.51 bilion itu adalah projek Kerajaan Persekutuan, manakala Kerajaan Negeri menyediakan fasiliti daripada segi tanah.

EKVE yang kini siap 45 peratus mempunyai laluan fleksibel menghubungkan Sungai Long hingga ke Ukay Perdana dengan jarak 29 kilometer.


Pengarang :