dav
SELANGOR

EXCO optimis sektor kilang tumpu teknologi bersih

OLEH SHEEDA FATHIL

SEPANG, 31 JUL: EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian, optimis supaya komuniti korporat terutama sektor perkilangan mengamalkan penggunaan teknologi bersih.

Loy Sian berkata, beliau berharap penggunaan teknologi bersih dapat diamalkan sektor perkilangan menerusi pelbagai aspek seperti kecekapan tenaga, pengurusan sumber air terpakai, simbiosis sisa industri dan sistem penuaian air hujan.

“Hal ini, sekali gus dapat mengurangkan pencemaran terhadap alam sekitar termasuk pemanasan global.

“Usaha sedemikian akan menjadikan produk yang dihasilkan lebih ‘marketable’ di pasaran luar negara dan tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2018 Peringkat Negeri Selangor bertempat di Hartalega NGC Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Loy Sian berkata, kejayaan memulihara alam sekitar itu tetap memerlukan kerjasama bersepadu daripada setiap lapisan masyarakat.

“Justeru, adalah menjadi harapan saya supaya tumpuan berterusan diberi kepada usaha meningkatkan lagi kesedaran dan komitmen orang ramai mencapai hasrat menjadikan Selangor sebuah negeri berteraskan pambangunan lestari atau ‘sustainable development’, katanya.


Pengarang :