SUKANKINI

FAM sambut baik kerajaan sokong guna pemain naturalisasi

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 30 JUL: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang membenarkan Harimau Malaya menggunakan khidmat pemain berstatus naturalisasi.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya mengalu-alukan kenyataan itu dan menyifatkannya keprihatinan Perdana Menteri terhadap perkembangan pasukan bola sepak negara.

“Saya berterima kasih kepada Dr Mahathir yang memberikan lampu hijau kepada Harimau Malaya menggunakan pemain berstatus naturalisasi.

“Saya melahirkan rasa terharu kepada Perdana Menteri yang mengambil berat serta memantau perkembangan pasukan kebangsaan dan sumbangan kerajaan jelas memainkan peranan positif dalam memajukan bola sepak tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, FAM pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif di Melaka, Sabtu lalu, bersetuju melantik Timbalan Presiden, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjadi Pengerusi Jawatankuasa Khas untuk persediaan merealisasikan pengambilan pemain naturalisasi itu.

Katanya, FAM akan terus menggerakkan jawatankuasa khas itu untuk bertindak memperhalusi hal berkaitannya bagi langkah seterusnya.

“Bagaimanapun, FAM tetap berusaha memperkasakan program akar umbi seperti disarankan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai program jangka masa panjang melahirkan pemain Harimau Malaya pada masa depan biarpun sedang berusaha ke arah naturalisasi pemain dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam kenyataan hari ini, Dr Mahathir menyatakan kerajaan ‘merestui’ sekiranya Harimau Malaya mahu mendapatkan khidmat pemain naturalisasi.

Katanya, pengambilan pemain sedemikian adalah proses biasa dalam sukan berkenaan dan tidak salah untuk pasukan kebangsaan menggunakan pendekatan sama.


Pengarang :