SELANGOR

FAS mampu mara bawah tampuk kepimpinan RMS

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 16 JUL: Persatuan Bola Sepak Negeri Selangor (FAS) pasti mampu memberi nafas baharu kepada pasukan Selangor untuk mara ke peringkat yang lebih jauh di bawah tampuk kepimpinan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Lagenda Bola Sepak Tanah Air, Khalid Ali berkata, beliau sememangnya mengalu-alukan Tengku Amir Shah mengambil alih tampuk kepimpinan FAS.

“Saya optimis Tengku Amir Shah mampu mengubah dan mengangkat semula FAS.

“Pada masa sama, saya berharap semua pihak dapat bekerjasama memberi sokongan padu untuk bersama membangunkan bola sepak Selangor ke peringkat tertinggi berbanding negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan perlawanan akhir tayangan skrin gergasi Piala Dunia edisi 2018 antara Perancis dan Croatia di Restoran Azhaar Maju, di sini, semalam.

Khalid yang juga selaku bekas pemain Emiriah Arab Bersatu pada musim Piala Asia 2004 AFC berkata, beliau sememangnya mempunyai pelbagai program kepada pasukan Selangor untuk menggilapkan lagi bakat pemain.

“Saya sedang dalam peringkat perancangan dan ia akan diusulkan kepada pihak atasan Selangor, berkemungkinan program itu akan mula dilaksanakan pada tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Legenda Bola Sepak Tanah Air, Reman Ragunathan berkata, beliau teruja dan berterima kasih kepada penganjur Pusat Khidmat Rakyat Gombak Setia yang sudi menjemputnya hadir menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia edisi 2018.

“Program sebegini amat bagus dilaksanakan kerana ia dapat mengeratkan silaturahim antara masyarakat berbilang bangsa,” katanya.

Terdahulu, Perancis mempamerkan aksi bergaya apabila berjaya menumbangkan Croatia dengan jaringan 4-2 untuk seterusnya dinobatkan sebagai juara Piala Dunia edisi 2018.


Pengarang :