BERITA UTAMASELANGOR

Fasa pertama LRA Langat 2 mula bekal air November 2018

OLEH AFIX REDZUAN

HULU LANGAT, 5 JUL: Fasa pertama Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 akan mula membekalkan air berjumlah 325 juta liter sehari (MLD) ke Negeri Selangor mulai November 2018.

Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli, Dr Xavier Jeyakumar berkata, LRA Langat 2 dijangka siap sepenuhnya pada 2022 dengan kos RM8 bilion dan mampu memenuhi keperluan pengguna di Lembah Klang.

“Dengan membekalkan 325MLD, rizab simpanan air Selangor akan meningkat sehingga tujuh peratus apabila siap. Setakat ini, rizab air mencukupi pada paras tiga peratus

“Ia boleh menampung penggunaan 1 juta isi rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Lawatan Tapak, Loji Rawatan Air Langat 2 di Pejabat Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Hulu Langat.

Projek pembinaan LRA Langat 2 yang bermula pada Mac 2014 kini sudah siap 72 peratus.

Berhubung kawalan pencemaran daripada sumber air dari Empangan Kelau, Pahang, Xavier memaklumkan kementerian akan membuat kertas kerja bagi mewujudkan sistem untuk meminimumkan risiko pencemaran selain mengadakan perbincangan bersama kementerian lain.

Selain itu, rakyat turut diingatkan supaya mengamalkan penjimatan air dengan mengambil iktibar krisis catuan air Selangor yang berlaku sebelum ini.

Sebelum itu Xavier mendengar taklimat lebih satu jam bersama Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan SMHB Engineering Sdn Bhd serta disusuli lawatan tapak projek LRA Langat 2.

Dalam sidang media sama, Xavier mengesahkan Kabinet sudah meluluskan lanjutan 30 hari bagi penyelesaian pensktrukturan semula industri air Negeri Selangor.

Beliau optimis penyelesaian pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SLASH) akan dicapai menerusi pertemuan bersama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dalam masa terdekat.

=EZY=


Pengarang :