ALAM SEKITAR & CUACASELANGOR

Festival Eco Community platform terbaik penjagaan alam sekitar

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 14 JUL: Festival Eco-Community yang dianjurkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mampu memberi kesedaran serta sebagai platform pembelajaran penjagaan alam sekitar, flora dan fauna kepada penduduk bandar raya ini.

Festival dengan kerjasama Persatuan Pencinta Alam Cawangan Selangor atau dikenali sebagai Malaysian Nature Society (MNS) menganjurkan Festival Eco-Community bertempat di Taman Rimba Riang, Seksyen 9, Kota Damansara.

Sekretariat Unit Komunikasi Korporat MBPJ memaklumkan penganjurannya juga turut mempromosikan kepentingan dan ekologi Taman Rimba Riang kepada orang awam.

“Penganjuran festival itu juga dapat memperkukuh jalinan kerjasama antara MBPJ dengan agensi bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanakan inisiatif ke arah pembangunan bandar Petaling Jaya sebagai bandar raya peneraju, dinamik dan lestari.

“MNS merupakan pertubuhan NGO yang mempunyai pengalaman menganjurkan program dan mengetengahkan isu-isu berkaitan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, katanya, kerjasama MNS dalam menangani isu-isu berkaitan alam sekitar dapat memacu Petaling Jaya ke arah menjadi sebuah metropolis yang mengutamakan pengurangan karbon dan pemuliharaan biodiversiti serta memastikan kelestarian alam sekitar.

Dalam festival itu, pelbagai aktiviti diadakan antaranya taklimat dan demonstrasi penanaman pokok oleh Dr. Khadijah Rambe dan Dr. Jean Weber, pameran poster dan gambar, face painting, Community eco-hunt (treasure hunt) dan lain-lain.

Festival Eco-Community itu dirasmikan oleh Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Johary Anuar.


Pengarang :