SASTERA

Galeri. Seniman. Kota Seni. Yogyakarta

Oleh Abdullah Jones

SEWAKTU berkunjung ke Yogyakarta, Indonesia yang digelar sebagai kota seni baru-baru ini, kami teruja apabila mendapati kebanyakan pelukis memiliki studio sendiri yang agak lumayan luasnya; tidak kurang juga yang ada galeri sendiri.

Seniman di sana ada yang menghasilkan karya seni dalam skala industri dengan mempunyai sekurang-kurang lima atau enam orang artisan bagi membantu mereka menghasilkan karya,. Malah di sebuah studio, kami dapati ada yang menggunakan 100 orang artisan!

Seniman yang menggunakan tenaga artisan ini suatu topik yang sedikit menjadi perdebatan, bergantung dengan siapa kamu bertanya — ada yang menyokong dan ada yang membantah.

Dalam kota dikelilingi kampung dan disulam sawah padi, kamu akan dapati di celah-celah sibuk kehidupan ialah studio seniman. Pemandangan ini menarik minat kami. Sukar untuk digambarkan suasananya kecuali kamu datang sendiri ke kota ini.

Dalam lawatan membeli-belah ke Malioboro, cuba tanyakan studio seniman kepada pemandu pelancong. Kami yakin kamu bakal melihat seni dengan mata yang lebih jelas.

Cuma bayangkan suasana di kampung dan selang-selikan antara rumah penghulu dan rumah bilal; di situ ada sebuah studio lukisan yang hasilnya dihantar ke seluruh dunia.

Kami bertanya sendiri mengapa hal ini tidak berlaku di Malaya? Tentunya kami silap kerana kita ada ramai seniman yang memiliki studio dan galeri sendiri. Antaranya, pelukis Yusof Ghani yang membuka galeri Tapak di Shah Alam; juga pelukis Fadeli Yusof dengan Padeli Galerinya juga di Shah Alam.

Ahmad Shukri dan isterinya pula mengusahakan Galeri Pati Satu di Puncak Alam. Mereka juga mengusahakan kedai bingkai berhampiran studio mereka.

Pelukis Rafiee Ghani yang esentrik juga berkampung di Puncak Alam di samping pelukis A Shukri ‘Lennon’ Alias yang menjadikan studio dan galerinya sebagai sekolah seni — menjemput siapa saja yang berminat untuk belajar melukis dan sebagainya.

Pelukis Zaim ‘Ultraman’ Durulaman juga dikatakan berpindah dari studio lamanya dan memulakan kerja, juga di Puncak Alam. Hamir Soib pula membuka studio yang dipanggil Gudang di Kuang dan berjiran dengan pengarca Muthalib Othman, Anniketyni Madian, juga pelukis Ilham ‘Kojek’ Fadli.

Sebenarnya banyak lagi seniman kita yang membuka studio dan galeri peribadi kepada orang ramai. Selain itu, hampir di semua negeri ada seniman yang membuka studio seperti pelukis Annasuwandi di Alor Setar, Fakrul Annuar dengan Studio Ujung Tanah di Johor dan kumpulan pelukis Rajawali di Kuantan yang berjiran dengan Galeri Pantai Timur milik pelukis suralis nombor satu negara, M Shaimy Hashim.

Berlainan dengan Yogyakarta, tumpuan seniman adalah membuka studio di sekitar bandar berkenaan tetapidi Malaya belum ada bandar khusus yang menempatkan seniman.

Dikatakan Yogyakarta jadi sedemikian kerana pelajar yang menuntut di Institut Seni Indonesia tidak pulang ke daerah masing-masing setelah tamat belajar tetapi kekal di situ untuk menghasilkan karya. Mungkin kerana terbiasa dengan bandar yang ramah seni, mereka menjadikan kota itu sebagai tapak mencari rezeki.

Sebagai perbandingan, bayangkan pelajar jurusan seni halus di UiTM Shah Alam terus tinggal dan menjadikan bandar itu sebagai tempat berkarya; cuma kami mendapati, untuk tinggal dan bertapak di Shah Alam suatu yang hampir mustahil kepada seniman yang baru mula berkarya; kos sara hidup tinggi antara faktor utama.

Sebaliknya, kos sara hidup di kota Yogyakarta pula boleh dikatakan rendah sekalipun untuk seniman tempatan. Rata-rata seniman di Yogyakarta tidak mendapat bantuan kerajaan; semua mereka usahakan sendiri dengan sokongan pengumpul hasil seni yang setia dengan karya tempatan.

Galeri-galeri komersil di sana juga galak memasarkan kerja anak negeri mereka. Ini sesuatu yang dimuliakan. Sifat ini patut ada kepada pengumpul karya seni di tempat kita. Ini bukan saja membantu menjana ekonomi seniman dan negara, malah ia suatu perjuangan meningkatkan mutu seni itu sendiri.

Kita patut berterima kasih kepada pengumpul seperti Alia dan Farouk Khan serta Pakaruddin Sulaiman yang berani mengaku mereka hanya mengumpul karya tempatan. Begitu juga pengarah filem tersohor U-Wei Haji Shaari dan Bingley Sim serta beberapa pengumpul lukisan yang setia menyokong hasil kerja anak tempatan.

Menyimpan mahakarya rakyat sendiri wajib menjadi agenda. Kita tidak mahu terpaksa ke Singapura misalnya untuk melihat hasil kerja seniman besar negara, Latif Mohideen. Selain itu, kami juga mendapati banyak galeri dari Malaya menjadi perantara pelukis dari Yogyakarta untuk memasarkan karya mereka ke sini.

Perjuangan — jika boleh disebut demikian — seniman kita hendaklah dimulakan sendiri tanpa bergantung kepada mana-mana agensi kerajaan kerana — seperti diketahui badan-badan ini dibebankan untuk menjaga semua cabang seni; tentunya tumpuan mereka adalah seni popular. Seni catan bukan satu daripadanya. Hakikatnya — walau pahit — perlu diterima oleh seniman tempatan.

Berkeras dalam mengerjakan karya, berusaha tanpa lelah serta berharap ada cahaya di hujung terowong, walau bagaimana jauh pun perjalanannya. Apakah seniman kita bakal maju seperti karyawan di Yogyakarta yang banyak melahirkan seniman terkenal dunia?

Kita sebenarnya boleh melakukannya dengan kerja keras dan sedikit sokongan dari pengumpul hasil seni. Diharapkan juga, mereka yang ada lebihan pendapatan mula menjadikan pemilikan hasil karya anak tempatan sebagai kebanggaan.

Sebesar atau sekecil manapun sokongan kepada karya tempatan, ia sentiasa dihargai. Boleh juga menyokong karya anak tempatan setelah selesai berbelanja di kedai tas tangan jenama terkenal, Bijan misalnya.


Pengarang :