GLOBAL

Gaza diserang besar-besaran rejim Zionis

GAZA 15 JUL: Rejim Zionis melancarkan serangan udara terbesar di Semenanjung Gaza sejak perang 2014, semalam sehingga mengorbankan dua penduduk Palestin, sementara Hamas melancarkan puluhan roket ke arah Israel.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan lonjakan keganasan itu berlaku susulan ketegangan selama berbulan-bulan yang meningkatkan risiko perang keempat di wilayah terkepung Gaza sejak 2008.

Pihak berkuasa berkata, tiga warga Israel cedera apabila satu roket terkena sebuah rumah di bandar Sderot berhampiran semenanjung Gaza.

Dua remaja Palestin berusia 15 dan 16 tahun terbunuh akibat serangan udara Israel terhadap sebuah bangunan di barat Bandaraya Gaza, kata Kementerian Kesihatan wilayah dikuasai Hamas itu. Selain itu, 25 mangsa lain turut cedera di seluruh Gaza, katanya.

Jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum lewat semalam berkata, pergerakan Islam yang mentadbir semenanjung Gaza bersetuju dengan satu gencatan ditawarkan Mesir untuk menghentikan lonjakan keganasan.

Seorang jurucakap tentera Israel enggan mengulas, namun berkata, tindakannya bergantung kepada situasi di lapangan.

Banyak asap tebal kelihatan di beberapa bahagian di semenanjung Gaza, ketika rejim Zionis menyerang sasaran kononnya milik militan termasuk sebuah bangunan yang didakwa digunakan Hamas sebagai kemudahan latihan dengan satu terowong di bawahnya.

Di Israel, siren serangan udara menyebabkan ramai penduduknya melarikan diri ke tempat perlindungan di beberapa kawasan mengelilingi semenanjung Gaza, ketika roket dan mortar dilancarkan dari kawasan Palestin ke komuniti berhampiran.

Israel berkata, kira-kira 100 roket dan mortar dilancarkan dan Hamas berkata, ia terpaksa menyerang sebagai tindak balas terhadap serangan udara Israel.


Pengarang :