epa06917099 A view of a collapsed house after an earthquake struck in Lombok, West Nusa Tenggara, Indonesia, 29 July 2018. A 6.4 magnitude quake hit the central Indonesian island of Lombok, Indonesia on 29 July, killing at least 10 people. EPA/EKA RAMADANI
NASIONAL

Gempa di Lombok: Malaysia sedia hulur bantuan – Menteri Luar

PUTRAJAYA, 29 JUL: Malaysia sedia menghulurkan bantuan kepada kerajaan dan rakyat Indonesia berikutan kejadian gempa bumi dengan kekuatan 6.4 pada skala Richter yang melanda beberapa kawasan di Lombok, Provinsi Nusa Tenggara Barat, Indonesia pukul 5.47 pagi waktu tempatan, Ahad.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah melahirkan kebimbangan berikutan kejadian gempa bumi yang meragut 10 nyawa, termasuk seorang rakyat Malaysia.

“Tun telah mengarahkan supaya membantu rakyat Malaysia dan melihat keadaan, sekiranya perlu, menghulurkan bantuan kepada Indonesia,” kata Saifuddin kepada Bernama ketika ditemui di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Menurut kenyataan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) gempa itu terjadi berpusat 28 km Barat Laut Lombok Timur dengan kedalaman gempa sekitar 10 km, hingga menyebabkan kerosakan bangunan dan struktur di kawasan yang terlibat iaitu Kapubaten Lombok Timur dan Kabupatan Lombok Utara.

Setakat 2.00 petang ini pihak berkuasa Indonesia mengesahkan 40 orang dilaporkan cedera parah dan luka ringan manakala 10 orang disahkan meninggal dunia.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :