BERITA UTAMASELANGOR

Genap sebulan Amirudin terajui kepimpinan negeri

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KLANG, 19 JULAI: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menetapkan fokus untuk turun ke bawah, setelah genap 30 hari mengemudi pentadbiran Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, pelbagai pengalaman dan tanggungjawab baharu perlu digalas dengan penuh komitmen sepanjang tempoh sebulan memegang jawatan berkenaan.

Katanya, hal itu seiring reformasi pembentukam kerajaan baharu di negara ini.

“Saya sudah mula lazim dan dapat biasakan diri dengan kaedah pentadbiran pengurusan.

“Selepas ini, saya akan lebih kerap turun ke bawah dan semestinya banyak kerja serta berdepan pelbagai isu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir menyerahkan sumbangan kepada Veteran Kurang Upaya (VKU) ATM, di Taman Sri Andalas, di sini, petang semalam.

Terdahulu, Amirudin mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada 19 Jun lalu di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah.

Pelantikan beliau bagi menggantikan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi di peringkat kerajaan Persekutuan.


Pengarang :