SUKANKINI

Gol Syafiq bantu Malaya benam Fiji

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Malaysia menewaskan Fiji 1-0 hasil jaringan Syafiq Ahmad dalam perlawanan persahabatan kelas A, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, malam tadi.

Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menyudahkan hantaran Syazwan Zainon, pada sebelah kiri pintu gol Fiji buat mendahului lawan, pada minit ke 19.

Bagaimanapun, malang menimpa Malaysia apabila Syafiq mengalami kecederaan dan terpaksa dikeluarkan lima minit selepas itu dengan digantikan Shafiq Shaharuddin.

Walaupun Malaysia mendahului tetapi Fiji terlebih dahulu menggugat Harimau Malaya dengan Christopher Wasasala (m9) melepasi pertahahan dan menewaskan Khairul Fahmi Che Mat dengan tendangan ke pintu gol, namun terkena tiang.

Bersambung babak kedua, Malaysia terus melancarkan serangan dan memperoleh gol hasil jaringan Wan Zack Haikal Wan Nor (m54), namun tidak dikira kerana berada pada kedududkan ‘offside’.

Jurulatih, Tan Cheng Hoe menurunkan lima pemain skuad bawah 23 tahun dalam perlawanan ini dan menunjukkan prestasi membanggakan dengan Harimau Malaya berjaya mengatasi Fiji, pasukan pada rangking lebih tinggi (165).

Ia petanda positif kepada skuad kebangsaan dalam persiapan menghadapi Piala AFF Suzuki 2018 nanti.


Pengarang :