NASIONAL

Google Malaysia bantu mahasiswa KTAR

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 JULAI: Google Malaysia bekerjasama dengan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KTAR) bagi membantu mahasiwanya lebih peka dengan penggunaan teknologi internet.

Ketua Komunikasi dan Hubungan Awam Google Malaysia, Zeffri Yusof berkata, bengkel interaktif yang dinamakan Google Cafe: Cool Tools 4 Skool diadakan untuk berkongsi cara penggunaan telefon pintar dengan sebaiknya.

Katanya, bengkel interaktif itu dapat meningkatkan hubungan sosialisasi pelajar di samping membantu mengekalkan prestasi akademik di universiti.

“Bengkel ini membantu pelajar mencari sumber rujukan dan tugasan mata pelajaran bersesuaian selain menjelaskan peranan Google Search, Google Scholars pula menyediakan akses bahan bacaan akademik merentasi pelbagai format penerbitan dan disiplin mata pelajaran.

“Google Books juga membantu pelajar universiti mengenalpasti buku dan topik perbincangan dalam bentuk digital,” katanya.

Zeffri berkata, bengkel Cool Tools 4 Skool itu turut membantu pelajar mengimbangi tarikh akhir tugasan, kuiz, ujian pertengahan semester dan peperiksaan.

“Jika mereka tidak menguruskan masa dengan sempurna, mereka berkemungkinan besar terlepas kelas atau peristiwa penting lain.

“Bengkel ini mendedahkan pelajar dengan program Google Cafe iaitu bagaimana fungsi Google Calendar dan Google Maps membantu mereka dalam menguruskan masa selain maklumat penting bagi tugasan peperiksaan serta membantu merancang perjalanan ke destinasi kajian,” katanya.

Dalam bengkel disertai lebih 200 mahasiswa itu juga turut mendedahkan pelajar penggunaan Google Drive, Google Docs, Google Slides, Google Sheets dan Google Photos dalam menghasilkan dokumen dan gambar.


Pengarang :