NASIONAL

Grant Thornton Malaysia urus operasi SSER

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 JUL: Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) mengumumkan pelantikan Dato’ Asri Hamidon sebagai Pengerusi Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER).

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, MKD yang mengambil alih pejabat SSER sejak 5 Jun lalu telah mengumumkan Pengerusi dan barisan jawatankuasa eksekutif (Exco) untuk syarikat tersebut.

“Dato’ Asri Hamidon, yang sebelum ini dilantik sebagai pengerusi 1Malaysia Development Berhad yang baharu, kini dilantik sebagai pengerusi SSER. Beliau juga adalah Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan di Kementerian Kewangan

“SSER adalah anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh MKD untuk melaksanakan projek Multi-Product Pipeline (MPP) dan Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP),” katanya.

Barisan Exco SSER yang baharu adalah bekas Ketua Pengarah Eksekutif Agrobank, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, Rakan Kongsi Kanan Grant Thornton Malaysia, Hooi Kok Mun dan Faisal@Pisal Abdul Ghani dari Kementerian Kewangan.

Bermula 25 Jun 2018, Syarikat Perakaunan Grant Thornton Malaysia akan menguruskan operasi harian SSER yang akan diketuai Kishan Jasani, rakan kongsi Grant Thornton Malaysia.


Pengarang :