GLOBAL

Gua Tham Luang bakal jadi muzium, hargai pengorbanan penyelamat

MAE SAI, Thailand 14 JUL: Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan menjadikan gua yang dinaiki banjir sehingga memerangkap 12 anggota pasukan bola sepak tempatan Thailand sebagai muzium.

Pendekatan itu bukan sahaja bertujuan menarik kunjungan pelancong tetapi juga sebagai penghormatan kepada pasukan operasi menyelamat.

Sementara itu, sekurang-kurangnya sebuah syarikat produksi filem merancang menghasilkan filem Hollywood berkisar aksi berani pasukan penyelam, anggota penyelamat gua dan petugas perubatan yang mempertaruhkan nyawa mereka membebaskan pasukan ‘Babi Hutan’.

Rakaman menakjubkan mengenai operasi menyelamat tersebut yang telah dikeluarkan kelmarin menunjukkan remaja berusia 11 hingga 16 tahun telah diusung keluar ke tempat selamat.

Mereka juga dirakam duduk dengan riang di atas katil hospital masing-masing dalam tempoh kuarantin sehingga doktor dapat memastikan bahawa mereka tidak dijangkiti sebarang pe­nyakit gua selepas menghabiskan masa selama lebih dua ming­gu dalam kegelapan.

Para pekerja semalam mengemas semula pam-pam air industri, jentera berat dan peralatan pembinaan yang sebelum ini ditempatkan di mulut gua Tham Luang yang merupakan pusat kawalan berteknologi tinggi semasa operasi selama 18 hari tersebut.

Ketua Penyelamat, Narongsak Osottanakorn memberitahu pemberita bahawa kawasan itu akan diubah menjadi sebuah muzium yang mempamerkan pakaian dan peralatan yang digunakan semasa operasi menyelamat penuh emosi tersebut.

“Saya percaya ia akan menjadi satu lagi lokasi tumpuan utama di Thailand. Pelancong akan datang melawat,” katanya.

Kira-kira 50 orang telah ditugaskan bekerja di tapak tersebut sebelum ini, kata pengawal Taman Negara, Pinitpong Wongma kepada agensi berita AFP, sambil menambah bahawa dia menjangka kerja-kerja mengalih keluar peralatan akan mengambil masa beberapa hari lagi.

“Tiada sesiapa yang dibenarkan masuk ke dalam gua itu walaupun terdapat banyak peralatan di sana kerana paras air semakin meningkat sejak misi menyelamat,” katanya.

Episod menyelamat itu bermula pada 23 Jun lalu selepas pasukan bola sepak tersebut bersama jurulatih mereka terperangkap di dalam gua Tham Luang kerana banjir monsun telah menutup laluan keluar dan hanya berjaya ditemui sembilan hari kemudian oleh penyelam Britain pada jarak 4 kilometer dari pintu masuk.

SUMBER: AFP


Pengarang :