SELANGOR

Guna logo Umno, BN berdepan krisis formula

OLEH AFIX REDZUAN

BATU CAVES, 13 JULAI: Hasrat Umno yang mahu menggunakan logo parti itu pertama kali dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Sungai Kandis menunjukkan Barisan Nasional (BN) kini berhadapan krisis dan semakin tidak relevan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, strategi Pakatan Harapan (PAKATAN) yang menggunakan satu logo sebelum ini membuktikan kaedah mereka lebih relevan dan diterima pengundi.

“Bagi saya, ini membuktikan formula gabungan BN tidak begitu relevan. Justeru, kaedah digunakan PAKATAN lebih diterima dan kental menempuh dugaan serta cabaran.

“Kita berdepan beberapa pilihan raya sebagai pembangkang dan akhirnya kita mencadangkan beberapa kaedah sebelum ini dengan menggunakan logo masing-masing.

“PAKATAN juga berdepan pelbagai cabaran di saat BN memerintah ketika dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Solat Jumaat dan Majlis Perdana Penyampaian Insentif Muassasah Selangor Darul Ehsan 1439H/2018, di Masjid Al Amaniah, hari ini.

Amirudin berkata, bagi menghadapi PRK DUN Sungai Kandis, Majlis Presiden PAKATAN sebelum ini sudah memilih KEADILAN untuk bertanding, memandangkan ia kerusi tradisi mereka serta menggunakan logo parti.

Katanya, PAKATAN juga sudah memenangi kerusi berkenaan selama tiga penggal dan pastinya logo KEADILAN sinonim dalam kalangan pengundi.

Pada 9 Julai lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Ogos ini sebagai hari mengundi, manakala penamaan calon akan diadakan pada Sabtu, 21 Julai ini bagi PRK DUN N.49 Sungai Kandis.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.


Pengarang :