PENDIDIKANSELANGOR

Guru besar ‘sporting’ buat persembahan, ‘ayam den lopeh” jadi perhatian

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG, 12 JUL: Kebiasaannya ketika program sekolah, anak-anak murid digalakkan untuk membuat persembahan, namun berbeza kali ini apabila guru-guru besar pula ‘berkorban’ di pentas utama membuat persembahan.

Sememangnya lain daripada yang lain apabila lebih 200 guru besar seluruh negara cukup ‘sporting’ apabila membuat persembahan ketika Majlis Makan Malam Konvensyen Pendidikan Kebangsaan ke-24, Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia dan Persidangan Perwakilan Kebangsaan ke-36 di Hotel Summit USJ malam semalam.

Antara mencuri tumpuan ialah persembahan Ayam Den Lopeh daripada guru-guru besar Negeri Sembilan.

Selain itu guru besar daripada Sarawak turut berpakaian tradisional dengan menampilkan Tarian Ngajat, sementara guru-guru besar daripada Kelantan pula dengan persembahan dikir barat.

Penganjur, Yang Dipertua (YDP) Majlis Guru Besar Selangor, Sukimin Juki berkata, ia adalah acara kali pertama menampilkan guru besar sebagai penghibur tetamu dengan membuat persembahan.

Katanya, aktiviti sedemikian dapat mengurangkan tekanan guru-guru yang sebelum ini dibebani dengan pelbagai tugas.

“Biarlah kita buat acara lain daripada yang lain, ada yang menari, menyanyi, berlakon dan tidak ketinggalan menyampaikan sajak, guru daripada negeri tertentu turut mengenakan pakaian tradisi negeri masing-masing.

“Saya berharap supaya semua guru-guru besar gembira dengan acara kali ini,” katanya.

Jamuan itu turut dihadiri Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari serta 688 guru besar dari seluruh negara.

=EZY=


Pengarang :