SELANGOR

Guru juga berperanan tegur wakil rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 4 JUL: Peranan guru-guru bukan sahaja mendidik pelajar di sekolah semata-mata tetapi turut memainkan peranan penting dalam masyarakat termasuk memberi teguran kepada wakil rakyat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, hal ini kerana guru merupakan golongan dihormati dalam masyarakat termasuk wakil rakyat sendiri.

“Wakil rakyat berperanan membawa semua isu rakyat kepada kerajaan dan guru pula mempunyai peranan dalam mendidik masyarakat termasuk menegur segala kelemahan wakil rakyat,” katanya ketika menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri di Sekolah Menengah Agama Paya Jaras di sini, hari ini.

Ketika menyentuh isu pembangunan sekolah agama, Mohd Khairuddin yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor menggesa supaya Kerajaan Negeri terus memberi tumpuan memperkasakan sekolah agama di negeri itu.

Katanya, walaupun sebelum ini banyak usaha dijalankan Kerajaan Negeri tetapi masih terdapat sekolah agama yang masih ketinggalan dalam pelbagai aspek khususnya membabitkan pembangunan prasarana.


Pengarang :