SELANGOR

Hampir 15,000 meriahkan Hi-Tea Aidilfitri DUN Batu 3

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 JUL: Hampir 15,000 memeriahkan sambutan Hi-Tea Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga yang diadakan di Stadium JKR, Seksyen 17, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Negerinya, Rodziah Ismail berkata, sambutan yang diterima kali ini cukup luar biasa berbanding tahun sebelum.

“Suasana begitu meriah apabila saya berpeluang bertemu dengan pengunjung yang mungkin terdiri daripada pengundi saya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

“Terima kasih kepada semua pengunjung kerana sudi hadir malah ada yang sudi membantu secara sukarelawan serta menjaga keselamatan sekeliling,” katanya kepada pemberita.

Katanya, kemudahan bas Smart Selangor yang disediakan Kerajaan Negeri juga memudahkan penduduk di kawasan kos rendah untuk bersama hadir di majlis itu.

“Saya bersyukur kerana kemudahan bas Smart Selangor dapat dimanfaatkan rakyat di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, katanya, majlis itu tambah bermakna apabila ia adalah bersempena ulang tahun kelahirannya yang ke 54 tahun.

Majlis selama tiga jam yang bermula seawal jam 3 petang itu bertambah meriah apabila terdapatnya kunjungan daripada Menteri di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Antara menteri yang hadir adalah mantan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang kini selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

 


Pengarang :