SELANGOR

Haniza sokong cadangan wanita penuhi 30 peratus kuota Ahli Majlis

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 JUL: Pelaksanaan 30 pelaksanaan kuota wanita sebagai Ahli Majlis adalah satu pengiktirafan kepada kemampuan wanita yang mampu memberi impak dalam pelbagai bidang dan aspek.

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, beliau menyokong penuh cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin untuk wanita memenuhi kuota itu.

Katanya, saranan itu menjadi komitmen Kerajaan Negeri terutamanya selepas Selangor di bawah pentadbiran Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menunjukkan teladan baik dengan kejayaan melantik 30 peratus wanita sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Cadangan ini juga selari dalam mengangkat martabat dan peranan wanita dalam pembangunan negara.

“Wanita kini harus diberikan peluang bagi memenuhi potensi untuk memainkan peranan penting sebagai pembuat keputusan di peringkat kerajaan tempatan.

“Sebagai contoh, pelantikan saya sebagai Ahli MMKN yang memegang portfolio Perumahan dan Kehidupan Bandar merupakan satu amanah dan kepercayaan besar kepada wanita,” katanya dalam kenyataan.

Haniza berkata, dengan pelantikannya itu, membuktikan wanita tidak lagi hanya dilihat mampu memegang portfolio berkaitan wanita dan keluarga sahaja.

“Saya zahirkan komitmen memastikan setiap PBT di Selangor mencapai 30 peratus kuota wanita dalam pelantikan Ahli Majlis yang kini dalam proses pelantikan baru,” katanya.


Pengarang :