NASIONAL

Harap kerajaan baharu ambil inisiatif kurang pencemaran plastik

OLEH SHEEDA FATHIL

BATU CAVES, 7 JUL: Kerajaan baharu di peringkat Persekutuan disaran komited memastikan pencemaran plastik dapat dikurangkan, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.

Beliau berkata diharap Kerajaan Persekutuan tegas dalam memastikan isu itu dapat ditangani terutamanya mengenai kempen terbaharu iaitu kurangkan atau larangkan penggunaan penyedut minuman plastik.

Katanya, beliau sangat menyokong kempen mengurangkan atau melarang penggunaan penyedut minuman plastik.

“Sekarang adalah masa yang amat tepat untuk memperluaskan lagi kempen bebas plastik kerana kebanyakan negara lain sudah mula mengamalkannya.

“Malah, di Selangor juga sudah berjaya kita laksanakan kempen pengurangan beg plastik dan polistren selama dua tahun,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Bukit Lanjan, di Dewan Serbaguna Taman Bidara, di sini, hari ini.

Justeru, katanya, sekarang merupakan masa yang sesuai untuk kempen itu dilaksanakan di seluruh Malaysia.

“Selain itu, kita turut mengalami masalah botol plastik namun hal itu sudah mula saya bincangkan dengan beberapa pengusaha dan aktivis mengenai cara kurangkan penggunaannya.

“Namun, kita ada beberapa masalah sedikit kerana negara China sudah tidak membenarkan sisa plastik sampai atau import ke negara mereka,” katanya.

Elizabeth yang juga mantan Exco Kerajaan Negeri berkata, disebabkan hal itu kebanyakan pengusaha membawa masuk sisa plastik itu ke Malaysia iaitu di Klang dan Pasir Gudang.

“Saya harap hal ini tidak lagi berlaku dan semoga Kerajaan Persekutuan mengambil inisiatif yang lebih komprehensif bagi memastikan pencemaran plastik dapat dikurangkan,” katanya.


Pengarang :