EKONOMI

Harga minyak dunia susut kesan eksport minyak mentah Iran

TOKYO 11 JUL: Harga minyak susut hari ini dengan Brent merosot lebih daripada AS$1 selepas Amerika Syarikat (AS) berkata ia akan mempertimbangkan pengecualian sekatan berikutan kesan yang dialami ke atas eksport minyak mentah Iran.

Niaga hadapan Brent susut AS$1.10 atau 1.4 peratus kepada $77.76 setong, manakala minyak mentah AS susut 68 cents, atau 0.9 peratus kepada AS$73.43.

Kedua-dua kontrak itu mencatatkan keuntungan dalam sesi terdahulu selepas data industri menunjukkan inventori susut lebih daripada jangkaan minggu lalu di AS.

Washington akan mempertimbangkan permintaan daripada beberapa negara yang mahu dikecualikan daripada sekatan itu yang akan berkuatkuasa pada November ini bagi menghalang Iran daripada mengeksport minyak, kata Setiausaha Negaranya, Mike Pompeo semalam.

“Terdapat beberapa negara yang datang ke AS dan memohon pelepasan berkenaan. Kami akan mempertimbangkannya,” kata Pompeo. Beliau bagaimanapun tidak menamakan negara berkenaan.

Terdahulu, Washington memberitahu negara sekutunya perlu menghentikan semua import minyak Iran bermula 4 November ini atau akan berhadapan dengan langkah kewangan AS, tanpa sebarang pengecualian.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :