SELANGOR

Hari Kecemerlangan Baitul Ehsan rai 35 wanita

OLEH SHEEDA FATHIL

SABAK BERNAM, 12 JUL: Seramai 35 wanita dirai Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersempena Hari Kecemerlangan Pelatih Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan 2018, di sini, hari ini.

Pengerusi MAIS, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi berkata, program kali ke 10 sejak mula dilaksanakan 2009 itu bertujuan meraikan pelatih yang sudah memberi sepenuh komitmen menjalani latihan dan pentarbiyahan pada sesi lalu.

“Pelbagai program diterjemahkan pada tahun ini memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan dan kawalan supaya golongan terbabit kembali ke pangkal jalan.

“Ia bertujuan menyuntik semangat kepada pelatih supaya terus berusaha mencapai kejayaan selain memberi dorongan dan keyakinan untuk berjaya dalam bidang akademik walaupun berada di pusat perlindungan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hari Kecemerlangan Pelatih Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan 2018.

Selain itu, Mohammed Khusrin berkata, ia memberi peluang kepada mereka membentuk sahsiah diri supaya menjadi insan lebih sempurna dan cemerlang.

Majlis turut menyaksikan pelatih menerima pelbagai pengiktirafan khas seperti Anugerah Ketua Rumah Terbaik, Ketua Pelatih Terbaik, Anugerah Khas Disiplin Terbaik dan Anugerah Khas ‘Rabiatul Adawiyah’.

Selain itu, penghargaan turut diberikan kepada tenaga pengajar yang menjadi tunjang utama kejayaan sekalian pelatih di sini.

Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan di bawah Bahagian Pemulihan Al-Riqab MAIS memberi perkhidmatan, perlindungan, pemulihan, kaunseling dan latihan dinamik terhadap wanita terdedah kepada gejala sosial selaras dengan Enakmen Jenayah Syariah Selangor.


Pengarang :