NASIONAL

Henti ungkit isu sensitif antara kaum, agama

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Elemen negatif dan tindak tanduk mengganggu-gugat kesepaduan serta keharmonian perlu dihentikan.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V bertitah, semua pihak perlu menghentikan ungkitan terhadap isu sensitif antara kaum.

“Beta juga menyambut baik cadangan mewujudkan Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat supaya program lebih berkesan bagi mempromosi perpaduan diperbanyakkan.

“Beta mengucapkan terima kasih dan menghargai komitmen serta sumbangan semua pihak dalam menjamin, mengekalkan keselamatan, keamanan juga kedaulatan negara yang dengannya membolehkan pembangunan dan kemajuan negara berjalan baik seperti dirancang,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Pertama, Majlis Parlimen Ke-14 2018 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Selain sentimen perkauman dan agama, baginda turut bertitah supaya semua pihak lebih serius menangani gejala sosial dan elemen negatif yang boleh merosakkan masyarakat serta negara.

Titah baginda, kepatuhan kepada ajaran agama dan nilai murni tidak harus diabaikan dalam menuju ke arah pemodenan.

“Dalam hal ini, semua lapisan masyarakat, organisasi kerajaan, organisasi bukan kerajaan dan para ilmuan perlu duduk semeja untuk mencari penyelesaian ke atas masalah berbangkit,” titah baginda.


Pengarang :