NASIONAL

HSR tangguh hingga selesai perbincangan dua hala

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Malaysia-Singapura perlu ditangguhkan sehingga rundingan dua hala negara terbabit selesai dijalankan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu ekoran anggaran awal kos projek bernilai RM110 bilion itu terlalu tinggi bagi jajaran sejauh RM350 kilometer.

“Pada masa ini, Kerajaan sedang berusaha mengurangkan bebanan hutang negara yang kini mencecah RM1 trilion.

“Kerajaan memutuskan pada 6 Jun lalu supaya Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan mengadakan perbincangan dengan Singapura bagi meneliti semula pelaksanaan HSR dari segi terma perjanjian dan kebolehlaksanaan projek,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soalan lisan persidangan Dewan Rakyat, di Parlimen, hari ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, Jawatankuasa HSR yang dipengerusikannya dan dianggotai Menteri Kewangan, Menteri Pengangkutan dan Peguam Negara ditubuhkan berhubung projek berkenaan.

Katanya, satu pasukan khas turut ditubuhkan bagi tujuan penyelarasan di peringkat pegawai kementerian yang terbabit untuk menilai pelaksanaan HSR.

“Peguam Negara sudah menyemak kandungan Perjanjian Dua Hala HSR yang ditandatangani, pada 13 Disember 2016 dan memberi pandangan ia mesti diselesaikan mengikut undang-undang dan rundingan dua hala,” katanya.


Pengarang :