ALAM SEKITAR & CUACASELANGOR

Hutan Simpan Raja Musa main peranan besar pertanian

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 14 JUL: Hutan Simpan Raja Musa memainkan peranan penting bagi sektor pertanian di Kuala Selangor, Sabak Bernam, Tanjung Karang dan juga Sekinchan.

Pengarah Jabatan Perhutanan Selangor, Dato’ Dr Puat Dahalan berkata, hutan simpan yang berkeluasan 80,000 hektar itu merangkumi 10 peratus kawasan hutan paya gambut di negeri ini.

Katanya, sehingga kini Hutan Simpan Raja Musa menampung bekalan air sebanyak 2 bilion meter kubik sekaligus mampu membekalkan penggunaan air domestik terutamanya pertanian.

“Sudah tentu ianya memberi kesan baik bagi sektor pertanian yang terdekat dengan hutan simpan ini, ia termasuklah kawasan Kuala Selangor sendiri, Tanjung Karang, Sabak Bernam dan Sekinchan.

“Justeru itu Jabatan Perhutanan Selangor mengharapkan semua pihak terus memberi kerjasama menjayakan kesinambungan menjaga kelestarian hutan simpan ini,” katanya dalam ucapan ketika Majlis Perasmian Pusat Kelestarian Gambut Global Enviroment Centre (GEC) – Komuniti di Kampung Raja Musa.

Sementara itu, Pengarah GEC, Faizal Parish berkata, program pemuliharaan Hutan Simpan Raja Musa Forest mendapat kerjasama lestari diantara GEC, Kerajaan Negeri dan Jabatan Perhutanan Selangor untuk memulihkan tanah yang terdegradsi dalam hutan paya gambut.

Katanya, program pemuliharaan termasuklah pencegahan kebakaran, pemulihan semulajadi paras air hutan dan pertumbuhan semula pokok secara semula jadi dan penanaman semula.

“Disebabkan hutan simpan ini dijaga baik, jumlah kebakaran juga berjaya dikurangkan, terbaru ia turut menerima pengiktirafan antarabangsa iaitu The Queen Commonwealth Canopy.

“Antara pemulihan dilakukan termasuk penanaman semula sebanyak 128,000 pokok gambut oleh sukarelawan dan di sini juga mempunyai 130 parit bagi mengatasi masalah kebakaran,” katanya.

=EZY=


Pengarang :