SELANGOR

Invest Selangor ‘hidang’ Musang King, Musang Queen

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 31 JUL: Invest Selangor menjamu orang ramai dengan hidangan durian terkenal, Musang King dan Musang Queen bagi meraikan kejayaan penganjuran Industrial Ride 2.0 lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris berkata, beliau berbangga apabila acara itu mendapat penyertaan menggalakkan hasil daripada kerja keras pihaknya dan penaja.

“Acara pada 15 Julai itu mendapat kerjasama yang baik. Bagi meraikan kerja keras mereka, maka kita adakan Pesta Buah-Buahan Tempatan.

“Istimewa hari ini kita sediakan pelbagai jenis durian termasuk Durian Musang King, Musang Queen, Raja Kunyit dan durian kampung. Tidak ketinggalan manggis dan rambutan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui ketika Pesta Buah-Buahan anjuran Kelab Rekreasi Invest Selangor (KRIS), di Pejabat Invest Selangor, di sini, petang tadi.

Hadir sama memeriahkan pesta berkenaan ialah EXCO Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Kim dan Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar Selangor, Soffan Affendi Aminudin.

Industrial Ride 2.0 diadakan di Bangi dan dirasmikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Ia turut mendapat kerjasama penuh daripada MBI, Sony EMCS (Malaysia) Sdn Bhd dan Media Selangor.

Hasan berkata, Invest Selangor akan mengadakan Industrial Ride sebagai acara tahunan atas kejayaan itu.


Pengarang :