NASIONAL

Isu kurang guru di bandar serius – Maszlee

KLUANG, 22 JULAI: Isu kekurangan guru di bandar utama kian meruncing, terutama di Johor dan Selangor ekoran ramai memilih kembali ke negeri asal untuk bertugas.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kecenderungan guru bertugas di kampung halaman sendiri ekoran peningkatan kos sara hidup, di bandar.

“Masalah itu berlaku di bandarseperti Johor Bahru, Pasir Gudang dan Shah Alam, justeru kementerian sedang meneliti apakah penyelesaian terbaik supaya guru tidak meninggalkan tempat.

“Mungkin ada beberapa inisiatif akan diusahakan, termasuk menaikkan elaun kos sara hidup atau meramaikan lagi anak tempatan menjadi guru tetapi semuanya dalam peringkat kajian,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian dan Penyampaian Sijil Siap Kerja bagi Pembinaan Sekolah Daif Fasa 1 2018 Negeri Johor, di Sekolah Kebangsaan Simpang Renggam di Kluang, hari ini.

Pada masa sama, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, pihaknya akan menggandakan usaha untuk memastikan sekolah daif dinaik taraf dan projek bagi pembinaan baru segera disiapkan.

Berdasarkan stastistik kementerian pada 2017, terdapat 120 sekolah daif dikenal pasti di seluruh negara dengan 60 daripadanya di Semenanjung Malaysia dan masing-masing 30 di Sabah juga Sarawak.

Bagaimanapun dengan peruntukan pada 2018, lebih daripada 20 sekolah itu siap dibina baru atau dibaik pulih melalui fasa pertama projek.


Pengarang :