SELANGOR

JAIS: Peranan ibu bapa pastikan produk makanan halal

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 17 JUL: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyaran ibu bapa supaya lebih berwaspada dalam memberi makanan ringan kepada anak mereka.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIS, Wan Najmiah Wan Mohamad Ali berkata, ibu bapa patut menyemak dahulu logo halal dan bahan terkandung dalam produk terbabit.

“Pastikan ada logo Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Halal Malaysia.

“Bagaimanapun, sekiranya was-was atau kurang pasti boleh menyemak di internet dengan menaip Direktori Halal Malaysia dan taip nama produk atau syarikat pengeluaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sidang Media di Bangunan Sultan Idris Shah, di sini, hari ini.

Wan Najmiah berkata, ibu bapa juga disaran menasihati atau berpesan kepada anak masing-masing supaya berwaspada dengan makanan ringan yang mereka beli.

Terdahulu, JAIS turut membangunkan aplikasi menyemak status halal menerusi telefon pintar bagi memastikan pengguna di negeri ini boleh menikmati makanan kegemaran tanpa rasa was-was.

Langkah membangunkan aplikasi itu dibuat bagi mengelak penipuan dengan menyalahgunakan logo halal.


Pengarang :