Selangorkini
Ibu bapa diminta beri nasihat kepada anak-anak agar terus membina kerjaya dan bukan menamatkan usia remaja dengan perkahwinan.
NASIONAL

Jangan iktiraf perkahwinan bawah umur

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 JUL: Wanita Pakatan Harapan (PAKATAN) menyeru pihak berkuasa, terutama Mahkamah Syariah dan Jabatan Agama tidak mengiktiraf perkahwinan membabitkan kanak-kanak berumur 11 tahun di Pantai Timur yang tular, baru-baru ini.

Ketuanya, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya berasa terkejut dan sedih dengan laporan berkenaan serta berpandangan perkahwinan seperti itu wajar dihentikan serta merta juga amalan yang tiada tempat di negara ini.

“Wanita PAKATAN akan berusaha sedaya upaya memastikan nasib anak ini dibela sewajarnya.

“Ini selaras dengan manifesto PAKATAN yang akan menggubal undang-undang untuk menetapkan umur 18 tahun sebagai had umur minimum perkahwinan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian merujuk kes perkahwinan lelaki 41 tahun dengan kanak-kanak perempuan 11 tahun dikongsi isteri lelaki itu yang dimaklum rakannya lalu menjadi tular di laman sosial.

Lelaki itu didakwa bernikah dengan kanak-kanak itu di Thailand, pada 18 Jun lalu.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, tindakan perlu diambil ke atas lelaki dan kedua ibu bapa kanak-kanak yang membenarkan perkara itu berlaku.

“Kanak-kanak di Malaysia perlu diberi pembelaan sewajarnya kerana mereka adalah masa hadapan negara.

“Amalan perkahwinan bawah umur mesti dihentikan segera,” katanya.


Pengarang :