NASIONAL

Jangan makan sirip ikan yu! – WWF Malaysia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 JUL: WWF Malaysia menggesa pemilik restoran, peruncit dan hotel untuk mengamalkan dasar ‘mengharamkan’ sirip ikan yu daripada senarai menu makanan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Dionysius S.K.Sharma berkata, sehingga kini permintaan terhadap ikan yu sangat tinggi sehingga menyebabkan populasinya semakin merosot.

“Menurut kajian, 85 peratus hidangan sup sirip ikan yu adalah berkaitan dengan perayaan seperti majlis perkahwinan di restoran atau hotel.

“Apabila premis sebegini menghentikan pembelian sirip ikan yu, kami yakin permintaan berkurangan, dan pembunuhan ikan yu juga tidak berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran ‘Projek Perkahwinan Tanpa Sirip Ikan Yu’ di Hotel New World Petaling Jaya.

Hadir sama Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming.

Bagi menangani masalah tersebut, WWF Malaysia turut bekerjasama dengan Persatuan Perkahwinan Profesional Malaysia (AWP) dan Penyelamat Ikan Yu Malaysia (SSMY).

Matlamat utama projek tersebut ialah mahu menggalakkan pengantin baru tidak memasukkan menu berasaskan sirip ikan yu ketika majlis perkahwinan masing-masing.

Kian Ming berkata, beliau turut berjanji untuk tidak meminta menu sup sirip ikan yu dalam mana-mana acara dianjurkan pihaknya.

“Saya juga akan cuba menasihatkan rakan-rakan yang akan berkahwin supaya tidak menyediakan sup berkenaan,” katanya.


Pengarang :