PBTSELANGOR

Jangan pelihara anjing di pangsapuri – MDKL

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 JUL: Jangan pelihara anjing di pangsapuri sekiranya tidak mempunyai lesen, tegas Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohamad Zain A Hamid.

Katanya, beliau berharap supaya penduduk di sekitar Kuala Langat mematuhi peraturan dan garis panduan ditetapkan.

“Selain itu, jagalah sensitiviti serta keharmonian penduduk lain,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian ketika operasi bersepadu menangkap anjing oleh penguatkuasa Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB) MDKL di sebuah pangsapuri, di sini.

Melalui operasi berkenaan, sepasukan Unit COB dengan dibantu penguatkuasa Unit Vektor dan penguatkuasa MDKL menangkap anjing dipercayai menyebabkan kacau ganggu penghuni di pangsapuri tersebut.

Mohamad Zain berkata, tangkapan dibuat mengikut Undang-Undang Kecil Pembiakan Dan Rumah Anjing MDKL 2007 kerana didapati pemilik premis tidak mempunyai lesen memelihara anjing di pangsapurinya.

“Anjing itu didapati mengeluarkan bunyi bising serta bau busuk akibat daripada najis anjing.

“Pemilik premis masih berdegil memelihara anjing itu setelah diberikan notis kesalahan pada 21 Mac 2018 lalu.

“Notis kesalahan dikeluarkan juga jelas mengarahkan pemilik premis supaya mengalihkan anjing tersebut dalam tempoh tiga hari seperti di tetapkan,” katanya.


Pengarang :