AGAMANASIONAL

Jemaah haji jangan leka dengan gajet semasa di Tanah Suci

MADINAH 14 JUL: Jemaah haji diingatkan supaya tidak terlalu leka dengan telefon bimbit mereka atau gajet-gajet seumpamanya semasa berada di Tanah Suci kerana dikhuatiri akan ‘mencacatkan’ kualiti ibadah haji mereka.

Pembimbing Ibadat Haji bagi 1439H, Ramli Ibrahim menegaskan ibadat haji adalah ibadat yang penghujung dan penggenap kepada Rukun Islam itu dan ia sepatutnya dilakukan dengan sebaik mungkin dan penuh khusyuk.

“Sifat yang digambarkan oleh Allah bagi mereka yang berjaya seperti mana yang dinukilkan di dalam al-Quran, Allah berfirman sesungguhnya orang beriman yang beroleh kejayaan itu adalah orang yang khusyuk pada solatnya, boleh kita kaitkan dengan ibadat (yang akan dilakukan nanti).

“Dalam masa yang sama, Allah mengingatkan supaya tidak terjebak di dalam perkara-perkara yang melalaikan,” katanya kepada media selepas majlis bacaan Yasin, doa selamat dan solat hajat oleh kakitangan Tabung Haji Madinah sebagai persiapan untuk menjalankan tugas di sini hari ini.

Justeru, beliau mengingatkan para jemaah untuk tidak mencampur-adukkan ibadat haji dengan perkara-perkara yang boleh mengurangkan tumpuan mereka kepada ibadat itu sendiri.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :