NASIONAL

Jenazah Adam Rayqal disemadi di Kuala Terengganu

KUALA LUMPUR 4 JUL: Jenazah Adam Rayqal Mohd Sufi, berusia lima bulan yang mayatnya ditemui dalam peti ais di rumah pengasuhnya dibawa keluar dari Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL), 3.06 petang tadi.

Jenazah akan disemadikan di Kuala Terengganu malam ini.

Berbalut dengan kain batik, jenazah bayi dipangku ibunya, Farrah Madihah Othman, 28, menaiki Honda Jazz dipandu adik Farrah Madihah dengan ditemani bapa Allahyarham, Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi, 28 di tempat duduk belakang.

Turut mengiringi perjalanan anak syurga ini tiga lagi kenderaan milik ahli keluarga dan kesemua mereka dijangka tiba lewat petang ini di Terengganu.

Datuk saudara mangsa, Abdul Rahim Ismail, 54, berkata, jenazah akan dikebumikan malam ini di Tanah Perkuburan Ladang Sekolah, Kuala Terengganu.

Terdahulu, proses bedah siasat bermula kira-kira jam 11 pagi berakhir kira-kira jam 2.15 petang sebelum jenazah dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan di IPFN HKL.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad juga turut tiba di IPFN HKL pada 2.20 petang bagi melawat jenazah bayi berkenaan.

SUMBER: SINAR HARIAN


Pengarang :