BERITA UTAMASELANGOR

JMB/MC perlu berintegriti urus sumber kewangan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 JUL: Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) perlu berintegriti dalam mengendalikan sumber kewangan bagi melancarkan pengurusan sesebuah pemajuan berstrata.

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, hal itu kerana sumber kewangan adalah nadi bagi memastikan ianya tidak menjejaskan operasi, penyelenggaraan fasiliti dan bangunan.

“Ilmu pengurusan kewangan membabitkan pelbagai aspek dan situasi antaranya integriti. Amanah ini ditakrifkan sebagai berintegriti, akauntabiliti dan Kebolehpercayaan.

“Pihak ini perlu diberi kefahaman dan kekuatan ilmu supaya mereka boleh melaksanakan tugas sekali gus, mengurangkan permasalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Seminar Pengurusan JMB/MC Selangor Siri 1/2018, di Dewan Jubli Perak, SUK, di sini.

Haniza berkata, selain itu, pihak JMB/MC juga perlu adil dalam menyalurkan perbelanjaan supaya tidak menimbulkan perselisihan faham antara pengurusan dan penduduk.

“Ada kes JMB/MC banyak kumpul duit, namun tidak digunakan untuk perkara memanfaatkan pemilik. Ini menimbulkan pergaduhan dan menyebabkan pemilik tidak mahu lagi membayar caj bulanan semasa.

“Selain itu, pihak pengurusan juga perlu memahami aspek merancang perbelanjaan dan aspek teknikal serta pelaksanaan yang perlu dipelajari,” katanya.

Pada masa sama, Haniza turut mahu aspek pendidikan komuniti tidak diabaikan semua pihak.

Katanya, semua pihak perlu memberikan kesedaran secara berterusan kepada pemilik berstrata supaya mereka mendisiplinkan dan menjelaskan bayaran.

“Kerajaan Negeri menyediakan platform kepada semua JMB/MC supaya mereka berkongsi pengalaman.

“Tidak semua gagal dalam melaksanakan kutipan tetapi boleh diikuti dan mempelajari sesama mereka yang mendapat kutipan melebihi 60 peratus,” katanya.


Pengarang :