GLOBAL

Johnson & Johnson kalah saman ganti rugi, diarah bayar AS$4.69 bilion

WASHINGTON 14 JUL: Gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Johnson & Johnson diarah membayar pampasan berjumlah AS$4.69 bilion (RM18.97 bilion) dalam tuntutan mahkamah mewakili 22 wanita dan keluarga mereka yang mendakwa bedak talkum Johnson & Johnson mengandungi asbestos dan mengakibatkan mereka menderita penyakit kanser.

Ia merupakan perkembangan di luar jangkaan terbaharu dalam kes tersebut yang menyaksikan beberapa ribu saman difailkan terhadap Johnson & Johnson.

Peguam mangsa, Mark Lanier berkata, panel juri terdiri daripada enam lelaki dan enam wanita di St Louis, Missouri memihak kepada mereka selepas bersidang lapan jam susulan perbicaraan yang berlangsung selama enam minggu.

Ganti rugi itu termasuk pampasan AS$550 juta (RM2.2 bilion) dan lebih AS$4.1 bilion (RM5.6 bilion) ganti rugi punitif.

Kesemua plaintif berkata, penggunaan bedak talkum Johnson & Johnson untuk kebersihan diri telah menyebabkan mereka mengalami kanser ovari.

“Selama lebih 40 tahun, Johnson & Johnson telah menyorokkan bukti kewujudan asbestos dalam produk mereka.

“Kami harap keputusan ini akan mendapat perhatian ahli lembaga pengarah Johnson & Johnson dan ia akan mendorong mereka memaklumkan kepada komuniti perubatan serta orang ramai mengenai hubungan antara asbestos, bedak talkum dan kanser ovari,” kata Lanier dalam satu kenyataan.

Malah, Lanier turut menggesa agar produk berkenaan ditarik dari pasaran.

Johnson & Johnson bagaimanapun berkata, pihaknya sangat kecewa dengan keputusan tersebut.

Dalam satu kenyataan, ia menyifatkan perbicaraan itu sebagai ‘proses yang tidak adil kerana membenarkan plaintif mengemukakan sekumpulan 22 wanita yang sebahagian besarnya tidak mempunyai hubungan dengan Missouri, dalam kes tunggal yang mendakwa bahawa mereka mengalami kanser ovari.

“Keputusan perbicaraan yang memberikan jumlah pampasan sama kepada semua plaintif tanpa mengira fakta masing-masing dan perbezaan dalam tuntutan undang-undang mencerminkan bahawa keterangan dalam kes ini bersifat prejudis,” kata kenyataan Johnson & Johnson.

Beberapa perbicaraan serupa telah diadakan dengan mahkamah rayuan Los Angeles pada Oktober lalu telah menolak ganti rugi bernilai AS$417 juta (RM1.7 bilion) terhadap Johnson & Johnson dan mengatakan hujah pengadu tidak kukuh.

SUMBER: AFP


Pengarang :