SELANGOR

JPS peruntukkan RM45,000 untuk selenggara Sungai Jerlok

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KAJANG, 30 JUL: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor memperuntukkan kira-kira RM45,000 bagi memastikan kelangsungan projek penyelenggaran Sungai Jerlok, di pekan Kajang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, Hee Loy Sian berkata, projek itu sudah mula dilaksanakan pada Jumaat (27 Julai) lalu, ekoran terdapat beberapa aduan dikemukakan penduduk berkaitan tahap kebersihan sungai terbabit.

“Kami mengambil maklum aduan dibuat daripada penduduk mengenai masalah Sungai Jerlok yang sangat kotor dan menjijikkan.

“Mereka menggesa supaya pihak kami menjalankan tugas pembaikpulihan sungai ini dengan segera supaya sungai kembali cantik,” katanya kepada pemberita pada Sidang Media Pembersihan Sungai Jerlok, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Loy Sian turut memberi jaminan bahawa kerja penyelenggaran itu bakal dijalankan secara komprehensif dan dijangka siap pada September nanti.

Katanya, beberapa aspek diberi penekanan ke arah menjayakan projek yang memakan masa hampir dua bulan setengah itu.

“Skop kerja adalah melibatkan cuci gali dan pembersihan, membaiki struktur (sump), pembaikan struktur (center slab) dan pagar keselamatan serta papan tanda.

“Kita juga menitikberatkan daripada segi pembersihan dan mengutip sampah di sepanjang rezab sungai untuk memastikan kebersihan sungai serta tidak mengecewakan penduduk.

“Selain itu, kerja penyelenggaraan Sungai Jerlok akan dijalankan setiap enam bulan iaitu dua kali dalam setahun,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menggesa orang ramai terutama pengusaha dan penjaja di sekitar berkenaan, supaya tidak membuang sampah serta sisa domestik ke dalam sungai berkenaan.


Pengarang :