SELANGOR

Jualan Amal Kempen Selamatkan Malaysia raih RM71,888

OLEH AFIX REDZUAN

KAPAR, 1 JUL: Sejumlah RM71,888 berjaya dikutip untuk disumbangkan kepada Tabung Harapan Malaysia bersempena Jualan Amal Kempen Selamatkan Malaysia anjuran Persatuan Wanita Kapar.

Berlangsung di hadapan Restoran Hoe Peng, jualan amal itu disambut meriah sejak jam 8 pagi dengan pelbagai jenis barangan diniagakan, pada harga murah.

Antara yang dijual termasuk barangan keperluan asas dan makanan.

Ahli Persatuan Wanita Kapar, Lim Pei Shi berkata, pihaknya gembira dengan sambutan diterima walaupun ia pertama kali dianjurkan.

“Idea ini tercetus ketika kami bersama melakukan aktiviti mendaki bukit. Sebelum ini, kami aktif dengan kerja kebajikan untuk membantu golongan memerlukan.

“Apabila kami mendengar berita berkenaan jumlah hutang negara yang besar, kami cuba menganjurkan jualan amal ini dan berasa bangga menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia yang menyumbang untuk membantu negara,” katanya.

Sumbangan itu diterima Ahli Dewan Negeri Sementa (ADN), Dr Daroyah Alwi sambil disaksikan Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim; Ahli Parlimen Kapar, Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid dan ADN Meru, Mohd Fakrulrazi Mohd Mokhtar.

Dr Daroyah dalam ucapannya menghargai inisiatif Persatuan Wanita Kapar yang bertungkus lumus menganjurkan jualan amal demi membantu Tabung Harapan Malaysia dan berharap lebih ramai akan bersama menyumbang.


Pengarang :