EKONOMI

Jumlah dagangan Thailand-Malaysia bakal cecah US$30 bilion

KUALA LUMPUR, 25 JUL: Kedutaan Besar Diraja Thailand berkata jumlah dagangan negara itu dengan Malaysia kini berada di landasan yang bakal mencecah US$30 bilion (RM121 bilion) dalam tempoh beberapa tahun akan datang, terutama menerusi pelbagai aktiviti perdagangan dan pemadanan perniagaan yang agresif.

Duta Besarnya, Narong Sasitorn berkata pada tahun lepas, perdagangan antara negara-negara jiran berjumlah US$22 bilion dan pameran Jenama Terkemuka Thailand 2018 yang bakal berlangsung akan membantu mencapai matlamat ini, yang telah dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama (JTC) pada 2015.

“Hubungan perniagaan merupakan ciri utama dalam hubungan yang berpanjangan serta mesra antara kedua-dua negara kita dan acara Jenama Terkemuka Thailand 2018 akan terus menyediakan sebuah platform kepada usahawan kedua-dua pihak bagi meneroka peluang perniagaan dan perkongsian baharu,” katanya pada sidang akhbar acara itu di sini hari ini.

Bertema “Membuka Peluang Perniagaan Baharu dengan Kreativiti Thailand,” pameran itu yang berlangsung dari 9 hingga 12 Ogos di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, akan disertai 100 pempamer termasuk 70 jenama baharu Thailand yang mencari pengedar dan pengimport tempatan.

Acara itu turut menyasar untuk menjana sekurang-kurangnya 500 hubungan pemadanan perniagaaan untuk Thailand dan Malaysia, yang akan terus membuka peluang kepada kedua-dua negara.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :