DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
BERITA UTAMASELANGOR

Junjung titah nasihat Sultan, DNS mercu tanda demokrasi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 JUL: Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Sue Lim dan Timbalan Speaker, Mohd Khairuddin Othman menjunjung titah nasihat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya menjaga imej Dewan Negeri Selangor (DNS) sebagai mercu tanda demokrasi.

Sue Lim berkata, baginda sangat prihatin terhadap perkembangan DNS yang menjadi contoh kepada dewan-dewan lain di negara ini.

“Suasana mengadap berlangsung dalam suasana ceria, baginda sangat gembira dan prihatin terhadap perkembangan DNS yang selama ini menjadi mercu tanda demokrasi.

“Ia juga menjadi teladan negeri lain sejak 2008 setelah melalui proses reformasi di bawah Dato’ Speaker ketika itu, Dato’ Teng Chang Kim dan selepas itu disusuli dengan Hannah Yeoh.

“Sekarang tiba pula giliran saya dan berharap dapat meneruskan kecemerlangan ini bagi memastikan DNS lain daripada yang lain,” katanya selepas sembah mengadap Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan di sini, semalam.

Sue Lim berkata, dalam pertemuan berlangsung selama kira-kira satu jam 30 minit itu, baginda turut bertitah supaya kekecohan yang berlaku di Dewan Parlimen baru-baru ini dijadikan iktibar dan perjalanan persidangan hendaklah dikendalikan dengan mengikuti Prosedur Piawaian Operasi (SOP), tertib dan terkawal sejajar dengan kemuliaan DNS.

Katanya, baginda juga menitahkan supaya semua Ahli Dewan Negeri (ADN) mematuhi kod etika pakaian ketika berada di DNS nanti.

“Saya dan timbalan saya sangat banyak menerima nasihat dan kami terima dengan hati terbuka dalam memastikan DNS terus bertenaga, berada di hadapan sebagai peneraju dewan di seluruh negara sebagai dewan yang demokratik, terbuka, dinamik dan berinovasi,” katanya lagi.

Sementara itu, Mohd Khairuddin pula berkata, beliau akan memegang teguh titah amanat baginda yang mahukan supaya piawaian tinggi DNS dikekalkan dan tidak membelakangkan peraturan dewan.

Katanya, baginda juga menitahkan supaya pemimpin masyarakat khasnya Ahli Dewan Negeri ADN supaya tidak melupakan fakta sejarah bagi membentuk Selangor yang lebih baik di masa hadapan.

“Ini termasuk menyuburkan lagi keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat yang menuntut semua ADN tanpa mengira parti harus menjadi contoh teladan yang baik kepada rakyat.

“Bagaimana kita mahu menunjukkan contoh teladan yang baik jika sikap kita di dalam dewan tidak menghormati kemuliaan dewan itu sendiri,” katanya.

Katanya lagi, setiap ADN harus ingat bahawa tingkah laku mereka sepanjang Persidangan DNS berlangsung dapat disaksikan rakyat secara langsung menerusi TV Selangor khasnya.

“Kita kena jaga tingkah laku kita kerana ribuan rakyat memerhatikan dan menilai setiap tingkah laku kita dalam dewan termasuklah anak-anak kita,” katanya.


Pengarang :