SELANGOR

Juwairiya fokus perkasa sektor pelancongan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA SELANGOR, 11 JULAI: Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli bertekad untuk memperkasa sektor pelancongan dalam usaha mengembangkan pertumbuhan ekonomi dan pendapatan rakyat, di negeri ini.

Beliau berkata, perkara itu secara tidak langsung akan menterjemahkan aspirasi dan komitmen Kerajaan Negeri yang mahu memberi tumpuan terhadap sektor pelancongan.

Katanya, kepelbagaian produk pelancongan berteraskan kekayaan alam semulajadi harus dimaksimumkan secara lebih efektif.

“Ia suatu kelebihan kerana kita ada keunikan tersendiri, terutama di beberapa daerah utama membabitkan Klang, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

“Kerajaan Negeri malah memfokuskan ketiga lokasi ini yang dilihat berpotensi untuk menarik lebih ramai pelancong dari dalam mahupun luar negara.

“Justeru, menjadi tanggunjawab saya sebagai wakil rakyat untuk menyemarakkan agro-pelancongan dengan mengajak pelancong supaya datang ke negeri ini, khususnya Kuala Selangor yang indah dan bersejarah,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, beliau ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat DUN Bukit Melawati, di Perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat, di sini, baru-baru ini.

Pada masa sama, Juwairiya berkata, perkembangan mapan sektor pelancongan di kawasan berkenaan akan membawa kepada kewujudan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Memandangkan isu pekerjaan adalah aspek yang diberi penekanan serius, jadi fokus saya terarah kepada anak muda tempatan dalam menyediakan peluang pekerjaan terbaik kepada mereka.

“Mereka tidak perlu berhijrah ke luar daerah semata-mata mencari pekerjaan, sebaliknya dapat menyumbang semula kepada ekonomi mikro dalam negeri dan daerah,” katanya.


Pengarang :