PELANCONGANSELANGOR

Karnival MATTA Selangor 2018 sasar 60,000 pengunjung

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 JUL: MATTA Fair – Selangor Carnival 2018 (MFSC 2018) yang bakal berlangsung pada 27 hingga 29 Julai ini dijangka menarik kehadiran kira-kira 60,000 pengunjung.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, program yang diadakan di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang itu berkonsepkan karnival dengan penyertaan kira-kira 150 gerai.

“Selangor yang menjadi pusat tarikan ekonomi dan perindustrian, kita juga ada aset pelancongan sangat baik seperti Sky Mirror sekelas seperti di Bolivia, kelip-kelip yang hanya boleh didapati di hutan Amazon yang memerlukan pendakian berminggu-minggu di samping banyak lagi tarikan seperti Batu Caves dan juga kawasan lain.

“Diharap penganjuran MATTA Fair Selangor ini meningkatkan lagi pelancongan di Selangor sebagai pintu masuk utama ke Malaysia di mana ini merupakan satu kelebihan yang turut memberi pulangan baik kepada masyarakat dan operator,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas diberikan taklimat berhubung penganjuran itu oleh pihak MATTA Selangor dan Tourism Selangor.

Amirudin berkata, turut diadakan pada karnival itu nanti, penampilan Miss Universe Japan, persembahan Ella dan Aiman Tino.

Ketika menyentuh isu kekurangan hotel di Utara Selangor, Amirudin memberitahu perbincangan sedang dijalankan dengan pihak PKNS untuk menambah bilik hotel milik PKNS di kawasan terbabit.

“Saya sedang bincang dengan pihak PKNS sebab kita ada hotel di Kuala Selangor yang dibina oleh PKNS tetapi masih banyak ruang, mungkin kita boleh fikirkan untuk menambah bilik bagi menampung kehendak pemasaran,” katanya.

 

 


Pengarang :