NASIONAL

Kaunter khidmat rakyat diperluas ke seluruh negara

IPOH, 15 JUL: Kaunter Khidmat Rakyat yang dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Manusia akan diperluaskan ke seluruh negara, kata Menterinya M.Kula Segaran.

Beliau berkata program yang bermula di Perak sejak 7 Julai lalu bertujuan mendekatkan jabatan serta agensi di bawah kementerian seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dengan masyarakat setempat.

Kula Segaran yang juga Anggota Parlimen Ipoh Barat berkata pembukaan kaunter sementara di pasar awam itu dapat memudahkan masyarakat setempat melaporkan pelbagai jenis aduan serta memohon sistem insurans pekerjaan dan lain-lain perkhidmatan yang disediakan.

“Kita belum selesai lagi di Perak, mungkin dalam tempoh tiga bulan akan selesai jelajah seluruh pasar awam di negeri dan selepas itu kita akan pergi ke negeri lain.”

“Kita menerima reaksi positif dari orang ramai mengenai pembukaan kaunter ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kaunter berkenaan di Pasar Awam Bercham di sini hari ini.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :