PBTSELANGOR

KDEBWM ambil alih kutipan sampah MPSepang bermula 1 September

OLEH AFIX REDZUAN

CYBERJAYA, 30 JUL: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) bakal menyerahkan sepenuhnya tugas kutipan sampah di kawasan pentadbirannya bermula 1 September 2018 kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM).

Timbalan Yang Dipertuanya, Muhammad Hafiz Shaari berkata, sehingga kini pihaknya dalam proses akhir bagi memuktamadkan terma kontrak yang dipersetujui bersama.

“Kita dalam peringkat akhir untuk selesaikan kontrak dan proses pengambilalihan kutipan sampah ini sepatutnya dilakukan pada Julai lalu.

“Kita ambil maklum mengenai kawasan kita yang luas, jadi untuk peringkat awal MPSepang dan KDEBWM bekerjasama bagi menyelesikan kutipan sampah supaya mekanisme terbaik dapat dicapai sebelum pengambilalihan sepenuhnya dilakukan.

“Ini juga langkah bagi mengurangkan risiko aduan supaya proses transisi tugas berjalan lancar,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis MPSepang Bil7/2018 di Bilik Semarak, Ibu Pejabat MPSepang, Cyberjaya.

Menurutnya, setakat ini terdapat 30 zon di bawah pentadbiran MPSepang dan jumlah itu dijangka bertambah mengikut kesesuaian.

Katanya, proses kutipan sampah juga akan dilakukan di kawasan luar bandar seperti kampung tradisi supaya kawasan setempat mengekalkan kebersihan.


Pengarang :