PBTSELANGOR

KDEBWM ambil alih Petaling Jaya mulai 1 Ogos

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 31 JUL: Mulai 1 Ogos, KDEB Waste Management (KDEBWM) akan mengambilalih perkhidmatan pengurusan kutipan sampah domestik dan pembersihan awam secara berperingkat, di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata, sebanyak 97 kawasan membabitkan 53 kawasan disediakan lori kompaktor bagi kutipan sampah domestik dan 44 lori ‘amroll’ bagi pembersihan awam.

Katanya, KDEBWM menjanjikan satu pembaharuan modus operandi dengan konsep ‘Smart Waste Solution’ yang mengetengahkan penggunaan lori kompaktor baru buatan jenama terkenal, dari negara Jepun.

Beliau berkata, ia dilengkapi sistem canggih untuk digunakan oleh semua sub kontraktor, di kawasan berkenaan.

“Penggunaan lori baru yang berteknologi tinggi ini dijangka bakal menyelesaikan isu tipikal yang sering dihadapi oleh kontraktor seperti keadaan lori uzur dan rosak.

“Semua lori ini akan dipantau pergerakannya melalui penggunaan ‘Vehicle Monitoring System’ (VMS) secara berpusat di ‘Centralized Command Center (CCC), di Ibu Pejabat KDEBWM,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyerahan Perkhidmatan Pengurusan Kutipan Sampah Domestik dan Pembersihan Awam dan Penyerahan Lori Kompaktor serta Armroll, di Ibu Pejabat MBPJ, di sini.

Pada program itu, sebanyak 10 lori kompaktor baru dan 23 lori ‘armroll’ akan diserahkan kepada sub kontraktor untuk digunakan bagi kerja kutipan sampah domestik dan pembersihan awam.

Ramli berkata, baki lori terbabit di setiap kawasan dijangka akan diserahkan, dalam tempoh sebulan.

“Penyerahan lori ini sejajar dengan komitmen KDEBWM membawa perubahan dan pembaharuan kepada perkhidmatan kutipan sampah yang lebih efektif serta efisien.

“Penggunaan lori yang dilengkapi pelbagai peralatan dan teknologi canggih akan dapat meningkatkan kualiti serta mutu perkhidmatan pengurusan,” katanya.

KDEBWM adalah syarikat milik penuh Kerajaan Negeri melalui pegangan sahaja di dalam Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) yang diberi tanggungjawab melakukan kerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam, di Selangor.

MBPJ adalah Pihak Berkuasa Tempatan keenam selepas Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Daerah Kuala Langat.


Pengarang :